15/3/2013 -- Kerajaan Hapus Bayaran Lesen OKU, Seragam Bayaran GDL Dan PSV: DS Kong Cho Ha
KERAJAAN Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penghapusan bayaran lesen memandu kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha membantu dan meringankan kos sara hidup golongan berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, selain daripada itu, berkuatkuasa pada hari ini juga, kerajaan turut membuat keputusan untuk penyeragaman bayaran tahunan bagi pemandu yang memiliki lesen memandu kenderaan barang (GDL) dan kenderaan pengangkutan awam (PSV).
"Penghapusan bayaran lesen memandu ini melibatkan kira-kira 230,000 pemegang lesen memandu di kalangan OKU.
"Bermula hari ini OKU yang membonceng motosikal dikecualikan bayaran fi lesen memandu dan hanya dikenakan bayaran RM2 setahun untuk kos lesen sahaja.
"Bagaimanapun bagi OKU yang memegang lesen memandu kereta, penghapusan bayaran fi hanya berkuatkuasa pada 1 Mei depan disebabkan beberapa masalah teknikal," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program penyeragaman lesen memandu vokasional di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seri Manjung, dekat Lumut, hari ini.
Kong yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, penyeragaman bayaran tahunan bagi pemegang lesen GDL dan PSV itu pula melibatkan lebih 150,000 orang pemandu di seluruh negara.
"Bermula hari ini, pemandu tidak lagi perlu membayar fi tahunan berasingan untuk GDL dan PSV, sebaliknya hanya menjelaskan satu bayaran untuk kedua-dua jenis lesen tersebut.
"Sebelum ini, pemandu lori yang turut membawa bas perlu membayar RM20 setiap tahun untuk GDL dan RM20 lagi untuk PSV kerana dua jenis lesen adalah berlainan.
"Berikutan penyeragaman GDL dan PSV ke dalam hanya satu lesen ini, pemandu hanya perlu menjelaskan fi untuk satu lesen sahaja iaitu RM20 setahun berbanding RM40 sebelumnya," katanya.
Menurutnya, selain penstrukturan semula bayaran lesen-lesen tersebut, tarikh tamat lesen pemandu juga akan diselaras mengikut tarikh lahir pemegang lesen.
Beliau berkata, langkah kementerian menyelaraskan tarikh tamat lesen vokasional kepada tarikh lahir pemandu dibuat supaya mereka tidak terlupa memperbaharui lesen masing-masing.